Apakah Imam Fakhr al-Din al-Razi Bertaubat Daripada Ilmu Kalam Di Akhir Hayatnya?
Seorang ilmuan muda dari Malaysia bernama shaif al-shadiqi (صيف الصديقي) menulis pada laman facebook nya sebagai berikut :
Umumnya pernah beredar sebuah dakwaan dalam kalangan ahli ilmu bahawa Imam al-Razi bertaubat daripada ilmu kalam daripada akhir usianya. Hal ini disebabkan sebuah wasiat yang didektekan kepada muridnya Ibrahim bin Abu Bakar al-Asfahani yang mana didakwa sebahagian ilmuwan semisal Sh. Ibn Taymiyyah rhm bahawasanya itu adalah bukti Imam al-Razi telah bertaubat dari ilmu kalam dan kembali ke manhaj salaf -menurut pemahaman mereka-. Namun, benarkah dakwaan tersebut?
Jawapan saya:
Tidak. Imam al-Razi tidak pun memaksudkan wasiatnya untuk bertaubat daripada ilmu kalam. Sebaliknya, makna yang beliau inginkan ialah manhaj kalam berdasarkan al-Quran. Perhatikan teks wasiat tersebut:
ولقد اختبرت الطرق الكلامية والمناهج الفلسفية فما رأيت فيها فائدة تساوي الفائدة التي وجدتها في القرآن العظيم لأنه يسعى في تسليم العظمة والجلال بالكلية للّه تعالى ويمنع عن التعمق في إيراد المعارضات والمناقضات وما ذاك إلا العلم بأن العقول البشرية تتلاشي وتضمحل في تلك المضايق العميقة والمناهج الخفية
فلهذا أقول كلما ثبت بالدلائل الظاهرة من وجوب وجوده ووحدته وبراءته عن الشركاء في القدم والأزلية والتدبير والفعالية فذاك هو الذي أقول به وألقى اللّه تعالى به
Umumnya, teks ini menjelaskan bahawa beliau telah mencuba pelbagai metode kalam dalam membincangkan hujah dan keraguan. Perkara ini maklum bagi mereka yang mengikuti penulisan-penulisan beliau terutamanya Nihayat al-Uqul yang mana beliau mampu memanjangkan satu keraguan sehingga puluhan bentuk pendalilan dan jawapan terhadap setiap satunya. Oleh itu, ada sebahagian metode tersebut semata-semata berasaskan logik akal -yang dinamakan sebagai dalil aqli mahd- dan ada pula metode kalam yang berasaskan al-Quran. Oleh itu, apa metode kalam al-Quran yang dimaksudkan oleh al-Razi? Lihatlah tafsirnya yang menghuraikan al-Quran dengan begitu teliti. Lihat ucapan beliau dalam tafsirnya bagi ayat 21-22 daripada Surah al-Baqarah:
وَأَنْتَ لَوْ فَتَّشْتَ عِلْمَ/ الْكَلَامِ لَمْ تَجِدْ فِيهِ إِلَّا تَقْرِيرَ هَذِهِ الدَّلَائِلِ وَالذَّبَّ عَنْهَا وَدَفْعَ الْمَطَاعِنِ وَالشُّبُهَاتِ الْقَادِحَةِ فِيهَا، أَفَتَرَى أَنَّ عِلْمَ الْكَلَامِ يُذَمُّ لِاشْتِمَالِهِ عَلَى هَذِهِ الْأَدِلَّةِ الَّتِي ذَكَرَهَا اللَّهُ أَوْ لِاشْتِمَالِهِ عَلَى دَفْعِ الْمَطَاعِنِ وَالْقَوَادِحِ عَنْ هَذِهِ الْأَدِلَّةِ مَا أَرَى أَنَّ عَاقِلًا مُسْلِمًا يَقُولُ ذَلِكَ ويرضى به
Di sini, beliau jelakan bahawa ilmu kalam mengikut acuan mazhab beliau -yakni mazhab al-Ash’ari- hanya semata-mata pembentangan dalil aqli berdasarkan dalil naqli yakni daripada al-Quran! Bahkan beliau berkata di akhir teks tersebut:
“Aku tidak merasakan seorang muslim yang berakal waras akan berkata ilmu kalam ini dicela dalam keadaan dia meredhai ucapannya itu.”
Bahkan sebelumnya, beliau berkata:
أَمَّا الْعِلْمُ فَقَوْلُهُ: إِنَّ اللَّهَ لَا يَخْفى عَلَيْهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلا فِي السَّماءِ ثُمَّ أَرْدَفَهُ بِقَوْلِهِ: هُوَ الَّذِي يُصَوِّرُكُمْ فِي الْأَرْحامِ كَيْفَ يَشاءُ [آلِ عِمْرَانَ: ٥، ٦] وَهَذَا هُوَ عَيْنُ دَلِيلِ الْمُتَكَلِّمِينَ فَإِنَّهُمْ يَسْتَدِلُّونَ بِأَحْكَامِ الْأَفْعَالِ وَإِتْقَانِهَا عَلَى عِلْمِ الصانع، وهاهنا اسْتَدَلَّ الصَّانِعُ سُبْحَانَهُ بِتَصْوِيرِ الصُّوَرِ فِي الْأَرْحَامِ عَلَى كَوْنِهِ عَالِمًا بِالْأَشْيَاءِ، وَقَالَ: أَلا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ [الْمُلْكِ: ١٤] وَهُوَ عَيْنُ تِلْكَ الدَّلَالَةِ
Melalui teks ini, Imam al-Razi menegaskan penghujahan Allah Taala membuktikan diri-Nya itu berilmu berdasarkan ayat ke-14 surah al-Mulk dan ayat 5-6 surah Ali Imran merupakan dalil yang sama dikemukakan oleh ilmuwan kalam. Ini bermaksud dengan jelas beliau menegaskan ilmu kalam berdasarkan mazhabnya itu merupakan jalanan yang terbaik kerana berdasarkan al-Quran.
Bahkan perlu diingatkan selain daripada wasiat tersebut, tafsir Imam al-Razi dan Ma’alim Usuliddin antara kitabnya yang terakhir. Oleh itu, jika anda ingin maksud penulisan sebuah imam, jangan hanya melihat daripada pengkritik dan pembencinya. Lihatlah daripada penulisannya secara keseluruhan bahkan manhaj yang diwarisi muridnya.
Dakwaan para ilmuwan kalam bertaubat dah “basi” sebenarnya. Sewajarnya, kena hairan lah kenapa hujung-hujung hayat baru taubat tetapi anak-anak murid masing-masing tetap meneruskan warisan ilmu kalam. Kalau guru bertaubat, wajarnya para murid kanannya akan tahu itulah yang wajar diteruskan.
Ada masa, saya kongsikan pula mengenai dakwaan Imam al-Razi mengikuti jalanan ahli falsafah yang mana bagi saya ia juga merupakan kesilapan pengkaji dalam memahami manhaj Imam al-Razi.
Moga Allah merahmati beliau.
Post a Comment